Categories
SELANGOR

Calon KEADILAN dan BN selesai kemukakan borang pencalonan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: Calon KEADILAN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam masing-masing selesai mengemukakan borang penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis kepada Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekitar jam 9.15 pagi.

Kedua-dua calon masuk ke Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam sambil diiringi pencadang dan penyokong sekitar jam 9.00 pagi.

Sebelum itu, calon KEADILAN, Mohd Zawawi tiba sambil diiringi Presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) serta penyokong parti.

Calon BN, Lokman Noor Adam diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusin Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta penyokong.

Tempoh sejam diberikan bagi proses penghantaran borang calon yang dibuka pada jam 9.00 pagi selepas diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN N.49 Sungai Kandis, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).