Categories
SELANGOR

Cegah kebergantungan kanak-kanak terhadap gajet elektronik

OLEH NORHAYATI UMOR

KELANA JAYA, 14 JUL: Semua pihak perlu berusaha mencegah kebergantungan kanak-kanak terhadap gajet elektronik bagi memastikan tumbesaran mereka tidak hanya berorientasikan peralatan itu semata-mata.

Isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhammad berkata, pilihan alternatif seperti buku dan bahan bacaan berkesan mengurangkan kebergantungan pada bahan elektronik itu.

Katanya, selain itu, ia dapat menyemai tabiat membaca dan mencintai ilmu daripada awal lagi.

“Rata-rata kanak-kanak belajar dengan sangat berkesan melalui interaksi dengan manusia dan bukan interaksi dengan skrin.

“Tabiat membaca perlu diterapkan kerana ruang lingkup lebih canggih dan bahan bacaan menarik akan lebih merangsang minat membaca kepada kanak-kanak.

“Perlu ada inovasi ilmu dalam suasana kekeluargaan yang merealisasikan budaya membaca sepanjang hayat dan ia boleh dirancakkan dengan bantuan taska atau pengasuh berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Sumber Pendidik dan Perpustakaan Kanak-Kanak (PSPK), Presiden Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) 2018 di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, Masdiana berkata pendidikan prasekolah berkualiti dapat menyediakan kanak-kanak peluang membina keyakinan diri, belajar kemahiran bermasyarakat dan membentuk tingkah laku pembelajaran yang baik.

“Inisiatif Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia sentiasa mengusahakan program kesejahteraan kanak-kanak sejak 29 tahun ini banyak membawa kebaikan serta manfaat,” katanya.

PPBM bersama Nippon Paint bekerjasama menubuhkan PSPK di ibu pejabatnya di Kelana Jaya dengan yuran keahlian kanak-kanak sebanyak RM5 setahun.

Matlamat utama PSPK ini bagi untuk menanam minat membaca kanak-kanak dari awal usia kecil lagi selain melaksanakan program outreach minat membaca serta mesra buku ketika membesar.

=EZY=