Categories
NASIONAL

Contohi Singapura bangun perumahan mampu milik

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG, 8 JUL: Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin mahu mencontohi Singapura berkaitan pembangunan perumahan mampu milik yang diamalkan di negara itu untuk diterapkan di Malaysia.

Zuraida berkata, beliau ingin menumpukan kepada golongan B40 supaya rumah mampu milik dapat dimiliki mereka dan ia akan dilaksanakan menjelang 2019.

“Saya baru sahaja pulang dari Singapura dan mendengar sendiri pembentangan daripada Menteri Pembangunan Singapura, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Pihak Berkuasa Pembangunan Bandar mengenai bagaimana pengurusan dan polisi diamalkan negara itu dalam membangunkan perumahan mampu milik.

“Namun, tidak semua boleh diambil untuk diamalkan di negara ini kerana Singapura masyarakatnya lebih maju daripada segi pemberdayaan dan kematangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Ampang yang diadakan di Padang Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, di sini, semalam.

Zuraida yang juga selaku Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau akan mengambil konsep diamalkan Singapura untuk diamalkan di negara ini khusus buat golongan B40.

Mengulas mengenai akan menjadikan negara lain sebagai contoh, Zuraida berkata, beliau memilih Singapura sahaja setakat ini memandangkan ia dekat, tidak memerlukan kos tinggi dan mudah untuk berkomunikasi.

“Saya sendiri dibesarkan di Singapura dan kini baru berpeluang untuk mendengar sendiri daripada menteri negara itu dalam melaksanakan rumah mampu milik disana,” katanya.

Terdahulu, Zuraida mengadakan lawatan kerja ke Singapura bersama Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha bagi membincangkan dan mendengar sendiri pembangunan negara itu.