Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Semangat Asia iringi Helmi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 JUL: Kecemerlangan di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) membakar semangat Mohd Helmi Azman untuk mencabar pada pusingan kedua Kekjuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, 7 dan 8 Julai ini.

Pelumba Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing itu kini mendahului senarai keseluruhan Underbone 150cc ARRC dengan meraih tiga podium, dua gelaran juara dan satu naib juara, berharap mampu beraksi cemerlang di Litar MAEPS, Serdang, minggu ini.

Ini kerana Mohd Helmi sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukkan ke 19 pada pusingan pertama Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak manakala rakan sepasukan, Mohd Fakhrusy Syakirin Rostam (sembilan).

“Banyak perbezaan antara ARRC dan Cub Prix terutama dari segi litar digunakan begitu juga dengan pelarasan dan kawalan jentera.

“Tahun ini saya baru beralih pasukan dan sewaktu di Tangkak, saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera. Selepas beberapa pusingan di Asia, saya semakin serasi dengan jentera Honda digunakan,” katanya.

Walaupun penamat sedikit mengecewakan di Tangkak, Mohd Helmi yakin dapat mencapai keputusan lebih baik bersama rakan sepasukan lain.

“Saya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dapat layak ke Superpole,” katanya.