Categories
PBT SELANGOR

Dato’ Bandar: Akta perlu dipinda sebelum laksana Pilihan Raya PBT

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 27 JUL: Dato’ Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain meminta kerajaan meminda akta sebelum meneruskan usaha mengembalikan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tempoh tiga tahun.

Mohd Azizi berkata, sebelum ini, keanggotaan dalam setiap majlis PBT adalah menerusi pelantikan seperti yang termaktub dalam Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Sekiranya Pilihan Raya PBT dilaksana, pindaan akta harus dilakukan di peringkat Parlimen terlebih dahulu dan isu memperkasakan proses pilihan raya hendaklah dibincang bersama dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dalam tiga tahun.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang kita bekerjasama dengan NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan wakil penduduk untuk meneliti sama ada pemilihan atau lantikan perlu dilakukan dalam jawatan Dato’ Bandar, Yang Dipertua atau anggota majlis PBT bersama dengan KPKT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MBPJ Penggal 2018/2020 di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, penyelarasan proses pilihan raya PBT adalah sama penting seperti Pilihan Raya Umum kerana ia melibatkan sokongan penduduk untuk memilih wakil rakyat kawasan mereka.

“Sebelum ini, kita pernah mencadangkan kepada KPKT supaya pemilihan Dato’ Bandar dibuat menerusi pilihan raya manakala anggota majlis dilantik, namun segala keputusan terserah kepada mereka untuk menentukannya,” katanya.

Terdahulu, pada 26 Mei lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, banyak perkara perlu dikaji untuk mencari mekanisme terbaik untuk memastikan pilihan raya PBT dapat dijalankan selepas tiga tahun.