Categories
SELANGOR

Doktor nasihat Dr Shaharuddin bercuti sebulan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 JUL: Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin dijangka bercuti selama sebulan atas nasihat doktor dan perkara itu sudah dimaklumakan kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Setiausaha Kanannya, Zafrullah Aris berkata, cuti itu diberikan bagi membolehkan Dr Shahruddin berehat selepas menjalani rawatan.

“Bagaimanapun, pihak keluarga Dr Shaharuddin menafikan berita yang dilaporkan media bahawa beliau sedang kritikal dan dirawat, di unit rawatan rapi.

“Untuk makluman, beliau hanya berehat selepas menerima rawatan dan diharapkan orang ramai dapat memberi ruang kepada Dr Shaharuddin, sepanjang tempoh diberikan.

“Sama-samalah kita berdoa supaya urusan beliau dipermudahkan dan diberi kesejahteraan untuk bertugas semula,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, sebuah portal melaporkan Dr Shaharuddin kini sedang menderita sakit kanser kolon.

Pada Pilihan Raya ke-14, Dr Shaharuddin menang di kerusi DUN Seri Setia menewaskan calon Barisan Nasional, Yusoff M Haniff dengan mendapat 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi, manakala calon PAS, Mohd. Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas S Vigneswaran.