Categories
SUKANKINI

Dollah: Prestasi baik pemain bantu Pahang juarai Piala FA

OLEH HAFIZAN TAIB

BUKIT JALIL, 8 JUL: Pemain Pahang mempamerkan prestasi permainan yang baik bagi mengatasi Selangor seterusnya menjuarai Piala FA 2018, kata Ketua jurulatih, Dollah Salleh.

Beliau berkata, pasukannya berjaya menguasai perlawanan serta mengambil kesempatan ke atas lawan dengan penyudahan berkesan bagi menghasilkan gol.

“Pemain mempamerkan permainan baik seperti apa dirancang dan berjaya membuktikan kemampuan dalam perlawanan akhir ini.

“Kita tidak pandang rendah pada semua pasukan lawan dan Selangor yang layak ke akhir tentu salah satu pasukan terbaik maka atas faktor ini kita bermain bersungguh-sungguh dalam tempoh 90 minit perlawanan,” ,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Dalam perlawanan itu, Pahang mengalahkan Selangor 2 – 0 hasil jaringan Muhd Nor Azam Abdul Azih dan Patrick Dos Santos Cruz.

Beliau berkata, dengan prestasi ditunjukkan diharap pemain Pahang akan terus meningkat selepas ini kerana yakin dengan kemampuan mereka.

Katanya, menjuarai Piala FA begitu penting dan tidak memikirkan peluang Pahang yang tertutup untuk beraksi di peringkat Piala AFC akibat digantung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selama dua tahun.

“Ia telah diputuskan FAM (penggantungan Pahang) dan soal rayuan saya serahkan kepada pengurusan pasukan untuk menentukannya.

“Secara pribadi memang saya mahu melihat Pahang beraksi dalam Piala AFC kerana kita mempunyai ramai pemain berkualiti,” katanya.

Dollah berkata, Pahang akan kembali membuat persediaan untuk perlawanan Liga Super kerana akan berdepan PKNP (11 Julai), Perak (14 Julai) dan Melaka United (18 Julai) selepas ini.

Ketua pasukan, Matthew Thomas Davies berkata, dengan kerja keras dan persiapan rapi dilakukan, Pahang berhak memenangi perlawanan akhir itu.

“Kita bersedia untuk perlawanan ini dan berhak untuk memenanginya serta muncul juara.

“Kita menebus kekecewaan musim lalu dan amat gembira atas keputusan ini,” katanya.