Categories
GLOBAL

Dr Wan Azizah naiki penerbangan komersial lawatan sulung ke Mongolia

ULAANBAATAR (Mongolia), 3 JUL: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di sini dengan menaiki penerbangan komersial untuk lawatan sulungnya ke luar negara sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Wan Azizah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khaan di ibu negara Mongolia pada jam 7.30 malam (waktu tempatan) untuk menghadiri Persidangan Menter-Menteri Asia mengenai Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR).

Beliau disambut di lapangan terbang oleh Duta Besar Malaysia ke China yang juga ditauliahkan ke Mongolia Datuk Zainuddin Yahya.

Zainuddin berkata Dr Wan Azizah membuat keputusan untuk menaiki penerbangan komersial untuk lawatan tersebut kerana faktor kos dan tidak menaiki pesawat kerajaan kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

“Perbelanjaan berhemah,” kata beliau kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Wan Azizah ke ibu negara Mongolia pada Selasa.

Semasa di sini, Dr Wan Azizah mempunyai jadual yang ketat terutama pada Rabu sempena AMCDRR dan beliau akan menghadiri tiga mesyuarat utama selain menerima kunjungan hormat daripada individu-individu terkemuka di luar persidangan.

Beliau mewakili suara Malaysia pada sesi Kenyataan Rasmi, Mesyuarat Pemimpin Asia dan Sesi Teknikal di AMCDRR.

AMCDRR merupakan platform untuk membincangkan mekanisme serantau bagi menangani isu-isu berkaitan pengurangan risiko bencana di rantau Asia Pasifik.

Lebih 3,000 perwakilan dari 50 negara Asia Pasifik berhimpun di ibu negara Mongolia bagi menghadiri persidangan tersebut bertemakan ‘Mencegah Risiko Bencana: Melindungi Pembangunan Lestari’.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana, Mami Mizutori.

Selain itu, Dr Wan Azizah juga dijadual mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC), Vongthep Arthakaivalvatee; Pengarah Eksekutif Pusat Penyelerasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre), Adelina Kamal; Pengerusi Kumpulan Penasihat Sains dan Teknologi (STAG), Prof Rajib Shaw dan EXCO bagi Program Pembangunan dan Operasi Mercy Malaysia Norazam Samah.

SUMBER: BERNAMA