Categories
SELANGOR

DUKE & SUKE: Lorong tutup sementara, laluan kontra dibuka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 JUL: Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (Prolintas), pemegang konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) sedang melaksanakan penutupan sementara satu lorong bagi memberi laluan kepada aktiviti pembinaan Lebuh raya DASH.

Prolintas menerusi kenyataan berkata, penutupan sementara satu lorong di Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana arah Kuala Lumpur, yang bermula semalam dijadualkan berakhir pada 25 Ogos depan.

“Langkah-langkah keselamatan seperti kawalan lalu lintas, pemasangan kon keselamatan, papan tanda amaran, penghadang plastik dan konkrit akan ditempatkan di kawasan berkenaan.

“Di samping itu, Emergency Response Team (ERT) juga akan bertugas 24 jam bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, Prolintas turut melaksanakan laluan kontra di Jalan Alam Damai, Cheras bermula di persimpangan Mandarina Court, bagi memberi laluan kepada aktiviti pemasangan rasuk (beam) projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Pelaksanaan laluan kontra ini akan dilaksanakan pada 10.00 malam hingga 5.00 pagi bermula semalam hingga 28 Julai 2018.

Pada masa sama, pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan mematuhi arahan kakitangan serta papan tanda di sekitar kawasan terbabit.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi di talian bebas tol, 1-300-88-5522; Facebook, PROLINTAS Highways; Twitter, @myDASHofficial; Emel, [email protected] dan Laman web rasmi, www.mydash.com.my.