Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Erdogan melawat Anwar pasca dibedah, ucap tahniah kemenangan pilihan raya

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

TURKI 8 JUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bersama isteri melawat Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pada sesi pemulihan pasca-pembedahan di Istanbul.

“Saya sempat dikunjungi Presiden Reccep Tayyip Erdogan dan isteri. Kunjungan mereka amat saya hargai meski waktu mereka terbatas dek kesibukan mengurus kemenangan pilihan raya.

“Saya menitip salam dan ucap tahniah daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong serta Tun Dr Mahathir berikutan kemenangan bergaya AK Parti dalam Pilihanraya Turki 24 Jun yang lepas,” tulis Anwar di laman sosial Facebooknya.

Beliau berkata pastinya kemenangan tersebut akan terus memberi nilai tambah kepada suburnya demokrasi dalam dunia Islam kontemporari.

“Di kesempatan yang tersisa, saya turut memanjangkan mesej akan hasrat Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara Malaysia-Turki.

“Respon balas Presiden Erdogan nyata positif. Mudah-mudahan persahabatan erat ini dapat terus terjalin dan diperkukuh. Teşekkür ederim!,” kata Anwar.

Anwar berkata sebelum ini selesai kegiatan padat di Jakarta beliau terbang ke Turki bagi menjalani pembedahan tulang belakang.

Katanya pemeriksaan koronari angiogram telah dijalankan ke atasnya sewaktu di PPUM tempoh hari untuk menentukan tahap dan keperluan untuk menjalani pembedahan tulang belakang dan bahu.

“Didapati tidak ada sebarang kesan signifikan terkait obstructive coronary disease. Namun sebagai pemulihan lumbar central stenosis secondary serta central disk herniation yang saya alami, saya harus menjalani pembedahan tulang belakang susulan di Medipol Mega University Hospital, Istanbul.

“Alhamdulillah, kesihatan beransur baik usai pembedahan tersebut dan saya dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada hari Khamis di bahagian bahu kanan rentetan kecederaan kaf rotator.Mohon doa agar semuanya berjalan lancar,” katanya.

Anwar turut memuat naik gambar beliau dan para doktor dan dua anak perempuannya di hospital tersebut.

Anwar dilihat berdiri menggunakan alat sokongan yang dibalut di bahagian bawah badannya dalam gambar tersebut yang dipercayai dirakam selepas pembedahan tersebut.