Categories
SELANGOR

EXCO Perumahan syor cat pangsapuri 5 tahun sekali

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 24 JULAI: EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha mengesyorkan pangsapuri kos rendah dan sederhana, di negeri itu dicat semula dalam tempoh lima tahun.

Katanya, cadangan itu akan diutarakan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pada waktu terdekat.

“Saya akan berjumpa dengan menteri berkenaan esok dan membincangkan isu ini kerana memang tidak sepatutnya kita biarkan pangsapuri dalam keadaan usang serta buruk.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi saya sudah tekankan panngsapuri sepatutnya diberi nafas baru dan diceriakan semula supaya penduduknya mendapat impak positif,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Haniza yang juga Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya berkata, beliau sudah menghantar senarai pangsapuri ke Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk mendapatkan peruntukan di bawah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA).

Katanya, ia bagi membolehkan semua rumah terbabit diberi nafas baru dengan dicat dalam masa terdekat.

“Sehingga kini, sudah ada pangsapuri dicat semula, iaitu Rumah Pangsa Kemboja, Rumah Pangsa Chempaka dan Taman Halaman dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.

“Saya berharap penduduk di perumahan itu kembali ceria dan bersemangat menjaga rumah masing-masing, saya mahu apabila mereka melihat rumah ini sudah cantik, maka aura positif akan diwujudkan,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri melancarkan Skim CERIA bagi tujuan baik pulih kerosakan harta bersama membabitkan pangsapuri kos rendah dan sederhana.