Categories
NASIONAL

Fuziah sedia jumpa Sajat, Safiey bantu krisis identiti

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JUL: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bersedia menemui dua usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman dan Safiey Ilias.

Fuziah berkata, dia bersedia membantu dua usahawan itu yang dikatakan menghadapi konflik identiti sekaligus membantu mereka kembali kepada fitrah.

Katanya, konflik dalaman kedua-dua personaliti itu perlu diselesaikan dengan pendekatan berhemah, bukan dengan membenci mereka.

“Saya tidak mengatakan apa ydilakukan mereka itu betul dan boleh diterima kerana yang haram tetap haram, tapi pendekatan dakwah perlu diambil, bukan dengan cara menghukum,” katanya dipetik BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika Jamuan Aidilfitri Maahad Tahfiz Negeri Pahang di Kuantan semalam.

Memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah turut mempunyai Ijazah Sarjana Muda Psikologi Kaunseling dari United Kingdom.

Katanya, pengalamannya sendiri pernah menyaksikan golongan lelaki yang menyerupai wanita kembali kepada fitrah apabila didekati secara berhemah.

“Kita bersedia membantu untuk selesaikan masalah mereka,” katanya.

Sebelum ini, Nur Sajat dan Safiey Ilias dipercayai menghadapi konflik identiti diri dan saling menyindir antara satu sama lain di laman sosial masing-masing.