Categories
SELANGOR

Giat gotong-royong cegah denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 28 JUL: Penganjuran aktiviti gotong-royong bersama masyarakat bagi mencegah denggi perlu sentiasa diadakan sebagai usaha mengurangkan wabak terbabit.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, hal itu kerana tanggungjawab membasmi wabak atau nyamuk aedes bukan hanya di bahu kementerian dan Pihak Berkuasa Tempatan, malah penduduk perlu memastikan kediaman dan persekitaran mereka sentiasa bersih.

“Program ini adalah salah satu cara untuk mendidik penduduk kampung mengenai kebersihan dan basmi wabak denggi.

“Kawasan lapang atau lorong-lorong yang dikhuatiri menjadi pusat pembiakan aedes di kawasan berhampiran kediaman penduduk atau tempat tumpuan awam dan usaha perlu digerakkan bagi membersihkan kawasan berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Gotong Royong Perdana USJ2, di sini.

Michelle berkata, di USJ 2, terdapat 42 kes denggi dilaporkan sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Katanya, jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa menjadikan kawasan terbabit sebagai ‘hotspot’.

“Saya mahu semua pihak bekerjasama menangani masalah ini kerana kes membabitkan wabak denggi memerlukan kerjasama semua pihak bagi menanganinya.

“Program kesedaran juga perlu dilakukan bagi memberi pengetahuan, pendidikan dan kesedaran kepada penduduk setiap lapisan usia,” katanya.

Dalam gotong royong itu, kira-kira 100 penduduk termasuk kakitangan Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.