Categories
EKONOMI NASIONAL

GST kadar sifar hasilkan perbelanjaan pengguna lebih kukuh

KUALA LUMPUR 28 JUL: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar, berkuat kuasa 1 Jun, akan diterjemahkan kepada perbelanjaan pengguna dan jualan yang lebih kukuh untuk peruncit, terutama semasa tempoh tanpa cukai tiga bulan dan sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikembalikan semula pada 1 Sept, kata RAM Rating Services Bhd.

Ketua Penilaian Pengguna dan Perindustrian, Kevin Lim, berkata agensi penarafan itu menjangka sektor runcit menjadi antara penerima manfaat utama sentimen pengguna yang lebih bersemangat dan pelbagai langkah yang dicadangkan oleh kerajaan baharu untuk mengurangkan kos sara hidup.

“Sejajar dengan itu, kami telah menyemak semula prospek negatif terhadap sektor runcit (sejak Oktober 2016) kepada stabil.

“Sentimen pengguna telah meningkat dengan ketara berikutan Pilihanraya Umum ke-14 pada Mei 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, indeks sentimen pengguna Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) – barometer keyakinan pengguna – melonjak kepada 132.9 mata pada suku kedua tahun ini.

Lim juga berkata, perbelanjaan pengguna dan jualan runcit dijangka akan menjadi normal sedikit selepas pelaksanaan semula SST.

“Bagaimanapun, beban cukai keseluruhan ke atas pengguna akan jauh lebih ringan, dengan kutipan cukai kerajaan dianggarkan mencatat RM21 bilion setahun, kurang separuh daripada jumlah yang dikumpul menerusi GST,” katanya.

SUMBER: BERNAMA