Categories
SELANGOR

Hutan Paya Gambut diiktiraf QCC

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

TANJONG KARANG, 11 JUL: Keberkesanan Program Pemuliharaan dan Pemeliharaan Hutan Paya Gambut Raja Musa menerusi panduan Rancangan Pengurusan Bersepadu (HPGSU) 2014-2023, terbukti apabila mendapat pengiktirafan Queen’s Commonwealth Canopy (QCC).

Pengurus Program Perhutanan dan Pesisir Pantai GEC, Nagarajan Rengasamy berkata, pelaksanaan di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan Global Environment Centre (GEC), sekali gus meletakkan Selangor sebagai negeri pertama menerima akreditasi itu.

Katanya, ia merupakan pencalonan sulung negara ini selepas QCC dilancarkan di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di Malta, pada 2015.

“Sebelum ini, JPNS dan GEC menerima banyak kunjungan negara ASEAN, termasuk Ketua Kesatuan Eropah.

“Dalam kunjungan itu, mereka nampak betapa seriusnya Kerajaan Selangor, pihak jabatan perhutanan dan NGO serta pembabitan komuniti setempat dalam menjaga, juga memulih kawasan ini supaya kembali mengimbangi rangkaian ekologi.

“Anugerah ini pengiktirafan termasyhur yang membuktikan kami melaksanakan usaha baik secara mapan dan inklusif,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini pada Bengkel Penglibatan Komuniti Dalam Program Pemuliharaan Hutan Paya Gambut Selangor dan Majlis Sambutan Hari Raya, di Agrotourism Homestay Sungai Sireh SHGSU Kg Ampangan, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nagarajan berkata, pengiktirafan dipacu memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat tempatan, malahan masyarakat sejagat khususnya.

“Matlamat sudah dicapai, maka kita boleh menguar-uarkan kepada negara lain dengan mengajak mereka untuk datang melihat sendiri kawasan ini.

“Pada masa sama, mereka boleh belajar daripada kita terutama dari aspek inisiatif terhadap pengurusan alam sekitar dilaksanakan pihak kita,” katanya.