Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ibadah haji peluang jemaah fahami sejarah Islam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JULAI: Jemaah haji dinasihatkan menghayati sejarah perkembangan Islam yang boleh disaksikan di Tanah Suci Makkah dan Madinah ketika menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sejarah perjuangan dibawa Rasulullah SAW memberikan pengajaran besar, termasuk pelaksanaan Perjanjian Hudaibiyah yang mampu menimbulkan keinsafan.

“Ibadah haji mempunyai falsafah agak besar dan untuk memahaminya, kita perlu mendengar bimbingan serta taklimat daripada mutawif.

“Amat malang jika kita ke sana menunaikan ibadah seperti biasa tetapi gagal memahami persekitaran, persaudaraan dan mendekati sejarah di belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program Perasmian Kursus Perdana Haji 2018 anjuran Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd yang disertai 500 bakal jemaah haji, di Dewan Utama Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Berkongsi pengalaman mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Makkah pada 2016, Amirudin berkata, perjuangan mengembangkan Islam tidak dilakukan dengan mudah.

Justeru, beliau turut mengingatkan jemaah supaya bersabar sepanjang mengerjakan ibadah, di samping menjaga nama baik Islam, Selangor dan Malaysia kerana ia turut disertai umat Islam dari seluruh dunia.

Jemaah haji di bawah kelolaan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd akan memulakan penerbangan pertama, pada 27 Julai ini.