Categories
NASIONAL

IJN kekal hab kesihatan terbaik negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memberi jaminan Institut Jantung Negara (IJN) akan terus berfungsi sebagai institusi kesihatan terbaik, di negara ini.

Beliau berkata, semua aspek pembangunan dan operasi institusi itu diyakini akan terus menyumbang kepada perkembangan hab kesihatan di Malaysia.

“Kita mempunyai komitmen untuk memastikan kelangsungannya bukan sahaja daripada segi dana tetapi mengekalkan institusi ini sebagai hab kesihatan, di Malaysia.

“Jadi, sememangnya ia harus diambil kira untuk pastikan IJN terus konsisten dan berperanan sebagai pusat yang bukan sekadar memberikan perkhidmatan tetapi mampu menjana keuntungan secara berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sinar Harapan dan Majlis Menandatangani Program MyHeart siri ke-3, di Wad Pediatrik IJN, pagi tadi.

Majlis berkenaan menyaksikan Yayasan MyPrihatin dan IJN Foundation menandatangani memorandum penubuhan program Myheart bagi membantu pesakit jantung.

Yayasan MyPrihatin diwakili Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan.

Manakala IJN diwakili Ahli Lembaga Pengarah, Pemegang Amanah Yayasan IJN, Raja Datin Zuraida Raja Mansor.

Menerusi program ini, seramai 447 pesakit kronik jantung kanak-kanak sudah dibantu menerusi pembiayaan kos rawatan dan logistik ahli keluarga.

Sementara itu, orang awam boleh menyalurkan bantuan di bawah program itu menerusi akaun bank Maybank, 564801648485 atas nama Yayasan MyPrihatin.