Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

“Inbound Mobility Program” erat hab pendidikan dua negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 JUL: Universiti Selangor (UNISEL) komited melaksanakan “Inbound Mobility Program” demi mengeratkan lagi hubungan dua hala antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia.

Menerusi program itu, UNISEL berpeluang menerima kunjungan pelajar dari Politeknik Medica Farma Husada (MFH), Mataram, Indonesia bermula pada 16 hingga 29 Julai ini.

Selain meningkatkan data ranking setara universiti, program itu diadakan bertujuan bertukar pandangan mengenai penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta pertukaran budaya antara dua negara.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pelbagai manfaat diperolehi oleh kedua belah pihak terutama berkaitan pertukaran idea dan pandangan dalam usaha memenuhi keperluan industri.

“Banyak manfaat yang diperolehi oleh kedua-dua pihak. Oleh itu, saya amat menggalakkan pelajar UNISEL turut serta dalam program lawatan seperti ini.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya pada Majlis Penutup “Inbound Mobility Program” bertempat di UNISEL Kampus Shah Alam, semalam.

Sementara itu, program yang berlangsung selama dua minggu itu merupakan salah satu projek anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat diketuai oleh Pensyarahnya, Prof Madya Dr Mohd Nazil Salleh.

Seramai 16 pelajar Diploma Analisis Kesihatan Politeknik MFH Mataram terlibat dan difahamkan ia merupakan lawatan kali pertama mereka ke Malaysia.

Pada masa sama, pelajar Politeknik MFH Mataram bukan sahaja diberi peluang untuk menjalani sesi pembelajaran di dalam bilik kuliah dan makmal, namun turut terlibat dengan aktiviti luar seperti lawatan ke tempat menarik sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.