Categories
NASIONAL

Isu elaun kritikal bomba, KPKT muktamad akhir Julai

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 11 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memuktamadkan elaun kritikal kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pada akhir Julai ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT sudah membuat kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada beberapa agensi kerajaan berkenaan elaun kritikal itu.

Beliau berkata, kertas kerja mengenai perkara itu sudah dibentangkan dalam mesyuarat kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

Katanya, setakat ini, pihaknya juga sedang menunggu ulasan daripada pihak Kementerian Kewangan untuk menyemak dan meluluskan.

“Bagaimanapun, kita berasa amat positif kerana permintaan untuk elaun kritikal bomba itu tidak membabitkan implikasi kewangan tambahan.

“Memandangkan kerajaan kini sedang berjimat cermat, namun kebijaksanaan KPKT mampu untuk memperuntukan elaun kritikal kepada bomba tanpa ada sebarang tambahan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kehormat JBPM yang diadakan di KPKT, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Zuraida turut menerima Pangkat Kehormat selaku Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba daripada JBPM.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, selepas dimuktamadkan akhir bulan Julai, elaun kritikal itu mampu memberi manfaat kepada 14,700 anggota JBPM di seluruh Malaysia.

“Setiap anggota bomba akan menerima elaun kritikal RM200 seorang pada setiap bulan,” katanya.

Terdahulu, KPKT memperuntukkan RM35 juta bagi pemberian elaun kritikal kepada anggota JBPM memandangkan tugas mereka yang berhadapan risiko berbahaya serta mengancam keselamatan ketika di lokasi bencana.