Categories
SELANGOR

Jabatan Perhutanan Selangor selenggara 10 taman eko rimba

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 JULAI: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) kini menyelenggara 10 taman eko rimba di negeri ini, kata Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Puat Dahalan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pemantauan berkala bagi kemudahan disediakan buat pengunjung.

“Setiap tahun JPNS menerima peruntukan bagi membolehkan kerja selenggaraan ini berjalan lancar dan kemungkinan jumlah tersebut itu ditambah lagi.

“Justeru, kami menggesa orang ramai terutamanya pengunjung menjaga kebersihan serta kemudahan disediakan,” katanya kepada SelangorKini.

Antara taman eko rimba yang dipantau sepenuhnya JPNS ialah Taman Eko Rimba Sungai Tengkala, Taman Rimba Eko Gunung Nuang, Taman Rimba Eko Sungai Congkak, Taman Rimba Eko Sungai Gabai, Taman Rimba Eko Ampang, Taman Rimba Eko Sungai Tua, Taman Rimba Eko Sungai Sendat, Taman Rimba Eko Komanwel, Taman Rimba Eko Kanching dan Taman Rimba Eko Templer.

Beliau berkata demikian selepas Program L’oreal Citizen Day di Taman Eko Rimba Sungai Tengkala.

Hadir sama Pengarah Urusan L’oreal Malaysia Sdn Bhd, Malek Bekdache dan Pengarah LESTARI Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Raihan Mohd Taha.

Mohd Puat berkata, taman eko rimba dahulunya dikenali sebagai hutan lipur diperkenalkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), pada penghujung 2016.

Katanya, penjenamaan semula hutan lipur kepada taman eko rimba dilaksanakan semua Jabatan Perhutanan Negeri termasuk JPNS bagi memberi imej lebih positif, di samping mengelakkan kekeliruan penggunaan nama hutan lipur oleh agensi lain.

“Hutan ataupun taman eko rimba ini bukan saja berfungsi sebagai tempat perlindungan yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna, malah ia juga turut menjana kitaran hidrologi dan udara sehingga membolehkan kelangsungan kehidupan lain,” katanya.