Categories
NASIONAL

Jawatankuasa tambah baik Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 ditubuh

BANGI, 24 JUL: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menambah baik Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) yang berkaitan dengan pengasuh kanak-kanak di rumah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata jawatankuasa melibatkan beberapa kementerian dan agensi berkaitan itu antara lain akan melihat aspek pemantauan, khususnya kepada pihak yang menjalankan aktiviti mengasuh atau menjaga kanak-kanak di rumah.

“Memang kita ada kekangan untuk melakukan pemantauan kerana bidang kuasa yang ada merentasi kementerian.

“Kekangan dan kelompangan ini yang harus ditambah baik, diselaras dan difikirkan oleh jawatankuasa khas tersebut,” katanya mengulas sama ada kerajaan mempunyai perancangan dalam menangani hal berkaitan aktiviti asuhan kanak-kanak di rumah.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan sambutan Tujuh Dekad Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini semalam, Dr Wan Azizah berkata penambahbaikan itu perlu merangkumi perkara siapa perlu bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan aktiviti tersebut termasuk penyediaan garis panduan sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini terhadap kanak-kanak yang diasuh.

Beliau mengakui akta sedia ada mempunyai kelemahan dalam aspek undang-undang, khususnya terhadap individu yang menjalankan aktiviti asuhan di rumah.

Dr Wan Azizah berkata penambahbaikan itu juga turut mengambil kira kemungkinan bayaran yang dikenakan menjadi lebih mahal sekiranya asuhan di rumah diinstitusikan.

“Sebab itu, kita kena ada kajian menyeluruh agar satu garis panduan atau piawaian standard dapat diwujudkan bagaimana perkara berbangkit dapat diatasi secara holistik,” katanya.

Beliau berkata keengganan pengusaha asuhan di rumah mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), yang merupakan satu syarat wajib sebelum mengambil upah menjaga kanak-kanak juga perlu diberi perhatian oleh jawatankuasa tersebut.

Menurut Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308), pengasuh kanak-kanak terutama suri rumah yang menjaga antara empat dan sembilan anak-anak perlu berdaftar dengan JKM bagi membolehkan perjalanan taska dan keselamatan kanak-kanak diselia oleh agensi kerajaan berkenaan.

SUMBER: BERNAMA