Categories
NASIONAL

Jenazah mangsa gempa Lombok dijangka tiba petang ini

JAKARTA, 31 JUL – Jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Allahyarham Siti Nur Ismawida Ismail, diterbangkan dari Lombok ke Jakarta sebelum dibawa pulang ke Malaysia, petang ini.

Jenazah Siti Nur Ismawida, 30, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok menggunakan pesawat Garuda GA0435 pada jam 9.40 pagi tadi ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta, lapor BERNAMA.

Sementara itu, Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, selepas itu jenazah Allahyarham akan dibawa ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan Garuda GA0816 dari Jakarta pada jam 1.40 tengah hari dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 5 petang (waktu Malaysia).

“Jenazah diiringi suaminya, Mohd Hafiz Mohd Kassim dan saudara kepada Mohd Hafiz, Saiyid Abdallah Syahir Aledrus,” katanya.

Difahamkan, jenazah akandibawa ke Masjid Ar-Rahimah, Desa Pandan, sebaik tiba di KLIA sebelum dikebumikan, di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Kuala Lumpur.

Allahyarham dilaporkan terkorban dihempap runtuhan tembok bangunan dalam kejadian gempa bumi 6.4 skala richter yang menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok, pada 5.47 pagi, 29 Julai lalu.