Categories
GLOBAL

Jepun alami cuaca panas melampau, catat paras tertinggi 41.1 celsius

TOKYO 24 JUL: Jepun mengeluarkan amaran baharu berikutan cuaca panas melampau dengan suhunya yang tertinggi berada pada paras 41.1 darjah Celsius, catatan rekod tertinggi yang pertama pernah dicatatkan.

Pada minggu lalu, cuaca panas berkenaan menyebabkan 15 orang maut dan memaksa lebih 12,000 lagi penduduk dimasukkan ke hospital dalam tempoh dua minggu bulan ini.

Jumlah kematian dijangka meningkat manakala agensi berita Kyodo melaporkan, pada Sabtu lalu sahaja seramai 11 orang terkorban di negara ini.

Daerah Kumagaya di Saitama, luar Tokyo telah mencatat rekod suhu paling tinggi di negara ini iaitu 41.1 darjah Celsius manakala Ome di barat Tokyo mencatatkan suhu 40.3 darjah Celsius.

Ini merupakan kali pertama suhu melebihi 40 darjah Celsius pernah direkodkan di kawasan Tokyo.

Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan, lebih 12 bandar dan pekan di negara ini menyaksikan peningkatan suhu sekitar 40 darjah Celsius.

Pegawai agensi itu, Minako Sakurai berkata, orang ramai yang berada di kawasan yang mempunyai suhu 35 darjah Celsius atau le­bih dinasihati lebih berhati-hati bagi mengelak strok haba.

“Orang ramai perlu lebih berhati-hati kerana kebanyakan mereka akan menjadi lebih penat selepas beberapa hari mengharungi cuaca panas,” katanya.

Agensi Pengurusan Bencana Alam Jepun menggesa orang ramai menggunakan penyaman udara, minum air secukupnya dan banyakkan berehat.

Suhu panas melampau yang melanda negara ini berlaku selepas kejadian hujan lebat dan tanah runtuh yang mengorbankan lebih 220 orang di bahagian barat dan tengah Jepun baru-baru ini.

Kebiasaannya musim panas di Jepun amat panas dan lembap.

Bagaimanapun, suhu pada tahun ini mencatat rekod paling tinggi dan mengejutkan rakyatnya selain mencetuskan kebimbangan menjelang Sukan Olimpik 2020 yang akan diadakan pada Julai dan Ogos di Tokyo.

SUMBER: AFP