Categories
NASIONAL

Kajian DEB fokus keperluan dan aspirasi rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kerajaan Persekutuan akan mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan menumpukan aspek keperluan dan bukan lagi bangsa bagi memastikan polisi dibuat mengikut permintaan serta aspirasi rakyat Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu memerlukan kajian meneluruh DEB yang dilaksanakan Kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Perkara berkaitan polisi ekonomi ini telah dilakukan di Selangor dan dengan pengalaman saya yang terhad di Selangor, kita seharusnya ke peringkat nasional yang akan menyaksikan sejauh mana polisi ekonomi kita akan memanfaatkan semua rakyat Malaysia.

“Jadi Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah ditugaskan untuk melihat perkara ini,” katanya kepada media di Lobi Parlimen.

Menurutnya, kajian yang dicadangkan itu dijangka akan dibentangkan November ini.

Kerajaan Persekutuan menerusi jawapan bertulis Kementerian Hal Ehwal Ekonomi semalam menyatakan akan meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuk DEB dan Model Ekonomi Baru (NEM) bagi melihat sama ada dasar itu masih relevan.

Ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia baharu dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara mampan serta dapat menjamin pengagihan adil.