Categories
SELANGOR

Kakitangan KPS derma darah laksana CSR

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kakitangan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) mengambil inisiatif menderma darah kepada Pusat Darah Negara, pagi tadi.

Ketua Pegawai Operasi KPS, Suzila Khairuddin berkata, inisiatif itu sebahagian daripada aktiviti membabitkan pekerja bertujuan menggalakkan kakitangan bersama menjayakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Katanya, ia memasuki tahun kedua selepas dilaksanakan tahun lalu dengan mengumpulkan 60 penderma.

“Warga kerja KPS menyahut seruan slogan ‘satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa’ dan pada tahun ini dijangka 100 beg darah akan dikumpulkan untuk membantu mereka yang memerlukan serta menambah simpanan tabung darah di Pusat Darah Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas Program Cergas Sihat di Plaza Perangsang, hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Selangor, Romli A Hamid; Pengurus LHDN Shah Alam, Ghani Omar dan Penilai Daerah, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH Shah Alam), Kartini Nordin.

Program Cergas Sihat KPS itu turut mendapat kerjasama JPPH Shah Alam dan Kelab Kakitangan LHDN Shah Alam membabitkan 300 kakitangan.

Suzila berkata, program itu turut dimeriahkan dengan acara senamrobik selama satu jam di perkarangan Plaza Perangsang.

“KPS mahu meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan amalan pemakanan dan gaya hidup sihat dalam kalangan pekerja, termasuk kakitangan kerajaan,” katanya.