Categories
SUKANKINI

Kasma intai podium di Suzuka 4-Hour

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 JULAI: Pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayuddin mengintai peluang menaiki podium apabila bakal beraksi dalam saingan berprestij Kejuaraan Suzuka 4-Hour Endurance, di Litar Suzuka, Jepun, pada 27 hingga 29 Julai ini.

Kasma, 18, bersama rakan sepasukan, Mohd Ramdan Mohd Rosli, tidak sabar tampil pertama kali dan mencari kemenangan di pentas kejuaraan bagi mengulangi pencapaian gandingan juara kategori sama, Azlan Shah Kamaruzaman dan Emir Firdaus Hasan, pada 2011 diikuti Emir dan Mohd Zaqhwan Zaidi (2012).

“Saya teruja dan gembira apabila Hong Leong Yamaha menyatakan kami akan beraksi dalam saingan itu tahun ini dan walaupun tidak banyak latihan bersama jentera 600cc tetapi kami mempunyai pengalaman di Litar Suzuka dalam aksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Kami meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dapat menamatkan saingan di podium walaupun ia cukup sukar dengan kehadiran pelumba ARRC lain di samping pelumba tempatan Jepun.

“Walau apapun, kami akan merancang strategi sebaik mungkin terutama dari segi memastikan kecergasan diri berada pada tahap terbaik,” katanya.

Pada masa sama, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu turut mengintai peluang mempertahankan kemenangan di Litar Jasin apabila turun beraksi dalam CP150 pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, hujung minggu ini.

Kasma memulakan musim 2018 dengan catatan kemenangan pada pusingan pembukaan di Litar Tangkak, Johor, namun tewas kepada Ahmad Afif Amran dan rakan sepasukan, Mohd Akid Aziz sewaktu pusingan kedua di MAEPS, Selangor, baru-baru ini.

“Prestasi saya kekal di tahap terbaik cuma adakalanya sedikit kesilapan akan membawa padah. Itulah yang berlaku di MAEPS.

“Saya akan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan serupa serta pada masa sama cuba untuk mengekalkan kemenangan di Jasin tahun lalu meskipun tahun ini menggunakan litar berbeza,” katanya kini di kedudukan kedua keseluruhan dengan 41 mata.