Categories
SELANGOR

KEADILAN kenal pasti calon PRK DUN Sungai Kandis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JUL: KEADILAN Selangor telah mengenal pasti senarai calon untuk pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis dan berharap pimpinan pusat akan memutuskannya dalam tempoh terdekat.

Pengerusi KEADILAN Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Biro Politik KEADILAN Negeri akan mengadakan perbincangan mengenainya hari ini dan akan mengemukakan senarainya selepas itu.

“Kita telah mengenal pasti sesetengah nama untuk dipertimbangkan sebagai calon dan Biro Politik KEADILAN Selangor akan melalui proses perbincangan biasa dengan nama calon diputuskan akan dicadangkan kepada pimpinan KEADILAN Pusat untuk dimuktamadkan.

“Saya juga telah membincangkannya dengan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan jentera parti telah menjalankan gerak kerja bagi menghadapi PRK,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Silaturahim Eidul Fitr Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, pihaknya tidak memutuskan sesuatu perkara berdasarkan spekulasi tetapi merujuk kepada keputusan dibuat melalui proses perbincangan parti.

“Dengan prestasi cemerlang Allahyarham Shuhaimi Shafiei, saya yakin KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu mempertahankan DUN Sungai Kandis,” katanya menambah lebih daripada satu nama calon akan dikemukakan kepada pimpinan KEADILAN Pusat.

Penamaan calon bagi PRK Sungai Kandis akan diadakan pada 21 Julai dan hari mengundi, 4 Ogos ekoran kematian penyandang, Shuhami akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.