Categories
SELANGOR

KEADILAN muktamad calon, umum sebelum 21 Julai

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 18 JULAI: KEADILAN sudah memuktamadkan calon mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari berkata, ia diputuskan parti itu dalam mesyuarat dijalankan Biro Politik KEADILAN Pusat, semalam.

“Biro Politik KEADILAN Pusat sudah mengadakan mesyuarat yang juga dihadiri saya dan membuat keputusan berkenaan perkara itu.

“Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah akan mengumumkannya sebelum Sabtu ini (hari penamaan calon).

“Esok kita akan melancarkan jentera parti dan kalau dibenarkan, mungkin esok atau selepas itu kita akan umumkan calon,” katanya selepas Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, pihaknya akan merancang penuh teliti dalam PRK kali ini dan berusaha mengekalkan kemenangan KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) di DUN berkenaan.

Katanya, PAKATAN juga bersedia menempuh apa jua situasi yang akan dihadapi ketika berdepan cabaran pihak lawan nanti.

“Seperti mana saya katakan sebelum ini, kita bersedia menghadapi apa juga keadaan kerana kita sudah menempuh proses itu dalam pilihan raya umum lalu.

“Soal calon, saya serahkan kepada Presiden untuk mengumumkannya kerana beliau yang akan menandatangani watikah dan mengesahkan,” katanya.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan ekoran kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei akibat barah limfoma, pada 2 Julai lalu.