Categories
SENI

Kekal ketelusan, kukuh martabat seni negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JUL: Prinsip ketelusan yang dipertahankan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) diyakini mampu membawa perubahan positif kepada agenda pembangunan negara.

Penyanyi Yasin Sulaiman optimis, pentadbiran Putrajaya kekal teguh berpegang kepada prinsip yang diperjuangkan gabungan itu, sebelum ini.

“Saya cukup yakin, amalan ketelusan itu akan terus diangkat dan dipertahankan Pakatan Harapan di Putrajaya.

“Ia sudah dibuktikan ketika mereka belum mentadbir negara. Saya berharap Kerajaan akan kekal telus dan mengutamakan dasar kebajikan semua rakyat di Malaysia,” katanya kepada SelangorKini pada satu majlis baru-baru ini.

Ditanya tentang keutamaan terhadap dasar pembangunan seni negara di bawah Pakatan Harapan, penyanyi Mimpi Laila itu terbuka jika pembaharuan dasar baru diwujudkan.

“Sebagai anak seni, saya cukup terbuka kerana matlamat kita adalah untuk melihat Malaysia yang baru ini dapat direalisasikan,” katanya.

Yasin sebelum ini dilihat antara selebriti tempatan yang cukup lantang mengkritik dasar pentadbiran Kerajaan terdahulu.

Kelantangan penyanyi itu untuk melihat sebuah pentadbiran bersih pernah dinyatakan dalam nyanyian lagu dan lirik ciptaan beliau sendiri, Reformasi.