Categories
NASIONAL

Kerajaan bentang Rang Undang-Undang mansuh GST

SHAH ALAM, 31 JUL: Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dibentangkan untuk bacaan kali pertama ketika sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pengguna tidak dikenakan sebarang cukai sejak Kerajaan pakatan Harapan menetapkan sifar peratus bagi kadar GST, sejak 1 Jun lalu, namun vendor masih dikehendaki mematuhi dokumentasi cukai berkenaan.

Rang undang-undang pemansuhan itu bertujuan menamatkan sepenuhnya GST sepenuhnya dan ia dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, bertujuan memansuhkan akta cukai berkenaan, lapor Malaysia Kini.

Pada masa sama, undang-undang baru menggantikan GST iaitu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut dibentangkan.

Pembentangan itu membabitkan RUU Cukai Jualan 2018; RUU Cukai Perkhidmatan 2018; RUU Kastam (Pindaan) 2018 dan RUU Zon Bebas (Pindaan) 2018 bagi membolehkan pelaksanaan SST iaitu sama dengan Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 yang dimansuhkan, pada tahun 2014 .

Melalui RUU Cukai Jualan, ia memperuntukkan cukai dikena dan dilevikan ke atas barang bercukai yang dikilangkan di Malaysia serta dijual, digunakan atau dilupuskan oleh pengilang berdaftar atau barang bercukai yang diimport ke dalam Malaysia oleh mana-mana orang.

Sementara, RUU Cukai Perkhidmatan yang memperuntukkan bagi mengena, melevikan dan memungut cukai perkhidmatan bagi perkara berkaitan dengannya.

Kedua-dua RUU berkenaan memperlihatkan menteri boleh menetapkan kadar cukai yang hendak dikena dan dilevikan serta mengubah atau meminda kadar cukai berkenaan melalui perintah yang disiarkan, dalam warta.