Categories
NASIONAL

Kerajaan komited naikkan had umur perkahwinan kanak-kanak

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 11 JUL: Kerajaan komited menaikkan had umur perkahwinan sedia ada dari 16 tahun ke 18 tahun, seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 2 Julai lalu.

Setiausaha Sulitnya, Rodziah Ismail berkata, ketika ini kuasa dan budi bicara berkaitan isu itu sepenuhnya kepada hakim dan Mahkamah Syariah kerana undang-undang berkaitan perkahwinan bawah umur bagi yang beragama Islam berada di bawah bidang kuasa Enakmen Islam Negeri.

“Perkahwinan kanak-kanak tidak wajar dibenarkan dan dipermudahkan hanya kerana ia boleh dilaksanakan.

“Dimaklumkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kini menggariskan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan kepada hakim sebelum membenarkan perkahwinan di bawah umur diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebelum ini tiada SOP standard diguna pakai oleh semua negeri sebagai panduan.

Katanya, JKSM menetapkan SOP itu bagi memperketatkan lagi kelulusan perkahwinan bawah umur untuk umat Islam.

“SOP berkaitan bukan di bawah bidang kuasa Kementarian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi di bawah JKSM dan sebarang kenyataan lanjut perlu dirujuk kepada pihak berkenaan.

“Walaupun SOP akan diwujudkan, komitmen kerajaan untuk menaikkan had umur minima perkahwinan bawah umur kepada 18 tahun masih diteruskan,” katanya.

Isu perkahwinan bawah umur mendapat perhatian umum berikutan kes perkahwinan lelaki 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun didakwa berlaku di Thailand, 18 Jun lalu.