Categories
NASIONAL

KKMM bakal sekat video pornografi

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyekat video berbentuk pornografi daripada menular, dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, sekatan itu menjadi salah satu perkara utama yang sedang diperjuangkan kerajaan baharu kini.

“Sekatan ini akan turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

“Bila ia mula disekat akan diumum kelak dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018, di Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Majlis turut meraikan tiga pegawai RTM yang akan bersara iaitu mantan Ketua Pengarah Penyiaran, Dato Abu Bakar Ab Rahim; mantan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Magli Alias dan mantan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Azman Abdullah.

Eddin berkata, walaupun tidak berpeluang bekerjasama dengan pegawai terbabit, namun beliau mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan cemerlang sepanjang melaksanakan tugas, di RTM.

“Diharap perjuangan dan usaha mereka yang baik di RTM akan diteruskan anda semua,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, RTM adalah entiti penting dalam KKMM dan menghubungkan informasi kepada rakyat serta lidah rasmi kerajaan yang perlu diperkasakan dengan merakyatkan saluran media itu.

Katanya, walaupun berusia 72 tahun, RTM masih kekal relevan dan mampu berkembang ke tahap lebih cemerlang serta beliau komited membantu perkembangan organisasi dan transformasi stesen berkenaan.

“Bagi saya, RTM amat dekat di hati kerana saya membesar dengan mengikuti perkembangan semasa yang disajikan melalui berita dan program disiarkan.

“Saya yakin transformasi itu akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan RTM sebagai penyiar rasmi kerajaan, sekali gus meningkatkan daya saing dan produktiviti warga kerjanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.

Terdahulu, Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik turut menampilkan persembahan daripada artis terkemuka tanah air antaranya Hazami, Ernie Zakri, Hael Husaini dan Nassier Wahab.

Pada majlis sama, RTM turut meraikan anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang pernah mengalami kebakaran sehingga meragut nyawa beberapa pelajar sebelum ini.