Categories
SELANGOR

KPS beli hartanah Pulau Pinang bagi pembinaan kilang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) membeli 1.82 hektar tanah di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang bagi tujuan pembinaan kilang elektronik.

Ketua Pegawai Operasinya, Suzila Khairuddin berkata, pembelian itu dibuat melalui anak syarikat milik penuh tidak langsung KPS, CPI (Penang) Sdn Bhd dimeterai bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), pada 17 Julai lalu dengan kos RM27.7 juta

Katanya, pembinaan kilang perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu dijangka bermula, pada separuh pertama 2019 dan disasarkan siap, pada 2020.

“Pembelian tanah itu adalah langkah dalam melaksanakan rancangan penciptaan nilai jangka panjang untuk mempercepatkan fasa pertumbuhan tinggi CPI.

“Berdasarkan permintaan yang semakin meningkat dalam industri EMS dunia, kami melihat peluang besar untuk dimanfaatkan oleh CPI,” katanya kepada SelangorKini.

Suzila berkata, dijangka pembinaan kilang di kawasan baru itu tiga kali lebih besar berbanding tanah sedia ada yang dimiliki.

“CPI adalah peserta Termoplastik Kejuruteraan (ETP) bersepadu dan mempunyai pelanggan global di seluruh industri automotif, penjagaan kesihatan, telekomunikasi serta perindustrian juga pengguna.

“Menjelang 2020, CPI akan berada pada kedudukan baik bukan hanya untuk memanfaatkan jangkaan kemasukan permintaan masa depan, malah meningkatkan kelebihan daya saing dalam industri ETP dan EMS,” katanya.

Selain CPI (Penang) Sdn Bhd, KPS turut mempunyai beberapa anak syarikat lain yang aktif, termasuk King Koil Licensing Company Inc (KKLC).