Categories
GLOBAL

Kucing menang pilihan raya datuk bandar

MICHIGAN 27 JUL: Seekor kucing parsi bernama Sweet Tart telah dilantik menjadi Datuk Bandar bagi kampung Omena di sini dan secara simboliknya akan mentadbir kawasan dengan 300 orang penduduk itu.

Selain Sweet Tart, jawatankuasa yang baharu dilantik itu juga terdiri daripada dua ekor anjing yang menyandang jawatan Naib Datuk Bandar iaitu Diablo Shapiro dan Punkin Anderson, manakala seekor kambing bernama Harley sebagai setiausaha akhbar.

Undian melalui pilihan raya suka-suka oleh penduduk itu sebenarnya diadakan bagi mengumpul dana untuk Persatuan Sejarah Omena.

Calon yang bertanding perlu terdiri daripada haiwan yang tinggal di Omena, namun pengundinya pula bebas dari mana-mana dan boleh mengundi menerusi PayPal.

Penentuan jawatan yang ditentukan oleh undi berharga AS$1 (RM4.06) setiap satu itu telah berjaya mengumpul sebanyak AS$7,000 (RM28,426) secara keseluruhan.

Majlis perasmian dan perarakan luar biasa diadakan pada hari Sabtu lalu dan pegawai-pegawai yang baharu dilantik akan berkhidmat dalam satu penggal selama tempoh tiga tahun.

SUMBER: AGENSI