Categories
SELANGOR

Lebih 8,000 kunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 14 JUL: Majlis Rumah Terbuka dan Jamuan Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor, di Dataran Pangsapuri Sri Perantau di sini, melabuhkan tirai kira-kira jam 11.30 malam tadi, selepas dibanjiri hampir 8,000 pengunjung.

Majlis diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir sama, Exco Kerajaan Negeri termasuk ADN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari; ADN Bandar Baru Klang, Dato’ Teng Chang Kim dan ADN Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu, tinjauan SelangorKini mendapati orang ramai berpusu menuju ke tapak majlis hingga menyebabkan petak meletak kenderaan di kawasan berhampiran penuh.

Tetamu dihidangkan dengan aneka juadah makanan antaranya kambing golek, nasi minyak, ayam masak merah, daging dan beberapa menu raya lain.

Di samping menjamu selera, tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi legenda Hail Amir dan Uji Rashid.

Pada majlis berkenaan, seramai 50 anak yatim kawasan berhampiran menerima sumbangan duit raya.

Sumbangan itu disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan ADN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari.