Categories
SELANGOR

Lebih RM13,000 produk guna logo halal tidak sah disita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUL: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyita 20 produk makanan ringan pelbagai jenis antaranya jeli, coklat, gula-gula dan jeruk kering diawet dengan jumlah sitaan bernilai RM13,427.60.

Operasi bersepadu itu dijalankan di sebuah syarikat makanan ringan berpangkalan di Puchong, di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali mengesahkan produk makanan tersebut tidak menggunakan logo halal Malaysia dan logo halal generik pada plastik pembungkusan.

Wan Najmiah berkata, pemeriksaan dijalankan berdasarkan atas aduan orang awam diterima Bahagian Halal JAIS ke atas produk makanan ringan dikeluarkan syarikat terbabit.

“Apabila pihak kita menyemak, didapati syarikat itu bukan pemegang sijil halal.

“Barang sitaan itu dihantar ke stor gudang simpanan hab halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Puchong sehingga siasatan lengkap dan laporan polis dibuat di Balai Polis Seksyen 6,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Wan Najmiah berkata, tindakan sudah diambil dan kes disiasat di bawah perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan 2011 (Perakuan dan Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menawarkan dan membekal perkhidmatan serta menggunakan logo halal Malaysia tanpa kebenaran pihak berkuasa berwibawa.

“Wakil syarikat juga diarahkan untuk tidak menggunakan logo halal dan ungkapan halal terhadap semua produk makanan ringan berkaitan sehingga siasatan selesai,” katanya.