Categories
NASIONAL

MAHA2018: Terokai teknologi moden, upaya agro makanan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUL: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berharap Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) menampilkan beberapa teknologi pertanian yang lebih baik bagi membantu negara membangunkan industri agro makanan.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, MOA mengharapkan kejayaan lebih besar dalam penganjuran kali ini yang bakal bermula 20 November sehingga 2 Disember depan.

“Acara dwitahunan ini akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan dan berada dalam peringkat akhir bagi memastikan kejayaan dalam pnganjuran kali ini.

“Kita memberikan fokus terhadap teknologi dalam pertanian dalam memastikan pembangunan Malaysia sebagai hub halal bagi agro makanan,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media di Putrajaya selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dgn Exco-Exco Pertanian Negeri Bil 2/2018, hari ini.

Katanya, MAHA 2018 dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mempromosi hasil pertanian disamping meningkatkan sektor yang dilihat mampu memberikan impak pasaran eksport ke Tanah Besar China iaitu durian musang king, sarang burung, buah nangka dan ikan hiasan.

“MAHA 2018 cuba mempromosi lebih giat mengenai durian Musang King. Kita mampu menjadikan Musang King sebagai industri dengan memasuki pasaran antarabangsa tanpa sebarang halangan sebelum ini.

“Dalam pertemuan singkat dengan Duta China Ramadan lalu, mereka secara tidak rasmi memberikan kesediaan mengurangkan birokrasi antara dua negara,” katanya.

Katanya, kementerian kini dalam proses mendapatkan tandatangan protokol bagi empat sektor yang disebutkan bagi memudahkan urusan eksport ke pasaran antarabangsa mengikut piawaian ditetapkan selain memperkukuh hubungan dagang dua hala dalam memastikan urusan kemasukan tidak berdepan sebarang halangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap kerjasama antara kementerian dan semua negeri termasuk yang tidak ditadbir Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi memastikan bekalan industri makanan negara mencukupi.