Categories
NASIONAL

Malaysia tak akan benar kapal bawa senjata nuklear berlabuh

KUALA LUMPUR 30 JUL: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Malaysia tidak akan membenarkan kapal-kapal yang membawa senjata nuklear berlabuh atau mengadakan latihan di perairan negara ini kerana ia boleh membawa konflik yang buruk kepada rantau ini.

“Kapal-kapal nuklear kalau nak lalu kita boleh bincang, tetapi nak berlabuh dan mengadakan latihan, Malaysia tidak akan bersetuju kerana ia boleh membawa konflik yang buruk kepada rantau ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai pendirian negara, sama ada akan membenarkan kapal-kapal termasuk kapal perang berkuasa nuklear atau yang membawa senjata nuklear melalui Laut China Selatan atau perairan negara.

Mohamad menarik perhatian Selat Melaka merupakan laluan paling sibuk di dunia dengan lebih 100,000 kapal melalui selat itu setiap tahun dan menjaga keselamatan Laut China Selatan serta Selat Melaka amat penting bagi Malaysia.

“Oleh itu, kita akan berusaha secara dialog diplomasi pertahanan dengan negara-negara kuasa besar agar tidak menjadikan Laut China Selatan medan pertarungan mereka,” katanya.

Mohamad berkata, kehadiran negara kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat yang mempamer kekuatan di Laut China Selatan juga sememangnya amat membimbangkan.

Sehubungan itu, katanya usaha diplomasi akan diteruskan dengan giat dengan kedua-dua negara kuasa besar itu agar tidak menjadikan rantau ini kawasan pertarungan mereka.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) mengenai falsafah dan strategi baharu Kementerian Pertahanan yang bakal diperkenalkan, Mohamad berkata ia masih lagi berlandaskan kepada Dasar Pertahanan Negara.

“Objektif Dasar Pertahan Negara ialah bagi melindungi dan mempertahankan kepentingan strategik negara yang menjadi teras kepada kedaulatan dan keutuhan wilayah serta kesejahteraan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, Kementerian Pertahanan di bawah kerajaan baharu, sedang melaksanakan kajian semula Dasar Pertahanan Negara agar falsafah, prinsip dan strategi pertahanan adalah seiring dengan cabaran dan kemajuan semasa dan pada masa sama akan meneruskan dasar lama yang membawa faedah kepada keselamatan negara.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Malaysia akan membawa pulang tentera yang masih berada di Arab Saudi.

“Proses evakuasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman ketika konflik pada masa itu telahpun selesai, jadi kumpulan tentera yang ditempatkan sejak tahun 2015 akan dibawa pulang,” katanya dan menegaskan Malaysia tidak mahu terbabit dengan konflik di rantau itu.

“Negara kita berpegang kepada dasar berkecuali, Malaysia hanya akan menghantar tentera ke negara luar sekiranya diminta berbuat demikian oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kita pernah hantar tentera pengaman ke Congo, Somalia, sempadan Iraq dan sekarang di Lubnan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pada masa ini seramai kira-kira 800 anggota tentera kita menjaga kestabilan di Lubnan di bawah panji PBB,” katanya.

SUMBER: BERNAMA