Categories
EKONOMI

Malaysia terus jadi destinasi menarik pelabur asing

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Malaysia, di bawah kerajaan baharu, dijangka terus menjadi destinasi menarik untuk pelabur asing melabur antaranya kerana kos modal hartanahnya yang masih rendah, kata Pengasas dan Pengerusi Country Heights Holdings Bhd (CHHB), Tan Sri Lee Kim Yew.

Lee berkata hartanah masih merupakan faktor penting sewaktu pelabur membuat keputusan berkenaan pelaburan langsung asing (FDI) dan mana-mana perniagaan yang mahu memulakan operasi mereka.

“Nilai hartanah di Malaysia adalah antara yang masih murah di rantau ini dan akan terus menjadi daya penarik kepada pelabur asing. Bagi memulakan perniagaan, kos modal, terutamanya untuk hartanah, masih merupakan faktor penting.

“Selagi kerajaan meneruskan dasar mesra perniagaan yang mengalu-alukan pelabur asing untuk melabur di Malaysia, saya percaya masa depan negara untuk terus menerima FDI adalah memberangsangkan,” kata Lee kepada pemberita di luar acara Sidang Kemuncak Kepimpinan Disruptif Asean 2018, di sini, pada 9 Julai lalu.

Beliau berkata aspek bakat berkemungkinan telah mengatasi kepentingan keperluan industri berintensifkan buruh dalam membuat keputusan berkenaan FDI.

“Kos buruh yang murah tidak lagi begitu utama berbanding keperluan bakat.

“Bakat boleh dibentuk sama ada menerusi pendidikan di Malaysia, atau kaedah paling pantas adalah dengan menarik bakat dari luar negara.

“Oleh itu saya menyokong cadangan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang mahu memberi kerakyatan kepada pakar IT asing untuk bekerja di Malaysia baru-baru ini,” katanya, sambil menambah bakat Malaysia yang tinggal di luar negara telah mula menunjukkan minat untuk kembali berkhidmat untuk negara.

Sementara itu, Lee menggesa sektor swasta tempatan untuk memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian budaya Malaysia, bersedia menghadapi perubahan dan gangguan baharu sama ada dari dalam atau luar negara, untuk dapat terus bertahan dalam perniagaan dan berkembang.

“Sektor swasta mesti terus inovatif ke arah ekonomi yang kukuh dan kemajuan selanjutnya.

“Kita mesti menggunakan teknologi di era digital ini. Gunakan Malaysia sebagai platform, teruskan asas perniagaan di sini, berkembang ke peringkat serantau dan kemudian global,” katanya.

Lee berkata menerusi perubahan dan inovasi, CHHB dapat kekal relevan ke hari ini dan mencapai kejayaan besar dengan beberapa projek berjaya merangkul anugerah.

CHHB, konglomerat sektor hartanah yang tersenarai di Bursa Malaysia sejak 1994, telah mempelbagaikan aktivitinya merangkumi pembangunan hartanah dan pelaburan, pengurusan hotel dan resort, penjagaan kesihatan, pengurusan acara dan pameran, pendidikan, pelancongan dan pemasaran keanggotaan, dengan nilai gabungan aset melebihi US$450 juta setakat 31 Dis, 2017. (US$1 = RM4.03)

SUMBER: BERNAMA