Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

MB: ASG medan terbaik pamer bakat, pupuk perpaduan ASEAN

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 JUL: Majlis Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) adalah medan terbaik bagi atlet muda menonjolkan bakat dalam sukan selain memupuk perpaduan di kalangan mereka.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selaku tuan rumah, Selangor berbangga dengan mandat diberikan bagi menjalankan ASG 2018 ke-10 dan percaya jawatankuasa penganjur telah melakukan yang terbaik bagi menjayakannya.

“Kejohanan ini menyediakan landasan terbaik bagi atlet muda mempamerkan bakat dan kebolehan dalam sukan selain membina perpaduan ASEAN juga berinteraksi dalam pertukaran budaya.

“Tema ‘Perpaduan Melalui Sukan’ (Unity Through Sports) untuk temasya kali ini jelas menggambarkan pengaruh sukan dalam menyatukan atlet muda yang datang dari negara ASEAN berbeza dengan kepelbagaian cara hidup dan kebudayaan yang sinonim dengan ASEAN,” katanya dalam majlis perasmian penutup ASG ke 10 di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, semalam.

Beliau berkata, kejohanan berlangsung itu pastinya digunakan sebaiknya semua kontingen dan atlet muda bagi menampilkan kebolehan untuk mencipta kejayaan dengan semangat kesukanan tinggi.

Bagaimanapun, katanya, semangat sebenar permainan bukan berkaitan untuk memenangi atau menjuarai tetapi tekad juga keazaman ditunjukkan di sepanjang kejohanan.

“Setiap seorang daripada anda adalah juara dan syabas kepada semua atlet pelajar terpilih mewakili negara masing-masing pada usia muda dengan harapan ASG bakal menjadi bato loncatan untuk mereka mencapai kejayaan pada tahap persaingan lebih tinggi.

“Tahniah dan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur, pegawai dan sukarelawan yang menunjukkan komitmen bagi memastikan kejayaan ASG ke 10 ini,” katanya.

Amirudin berkata, kejayaan itu bersesuaian dengan kata hikmah Pengasas Ford Motor Company, Henry Ford – “Bersama-sama adalah permulaan. Bersama-sama adalah kemajuan tetapi bekerja bersama adalah kejayaan.” (Coming together is a beginning. Keeping together is progress. But working together is success).

“Kepada Indonesia. Tahniah kerana terpilih menjadi tuan rumah ASG ke-11 tahun depan dan berharap anda melakukan yang terbaik.

“Semoga kejayaan bagi ASG akan berterusan pada masa hadapan,” katanya.