Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

MB: Kerajaan Negeri rancang bina litar lumba di Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SEDANG, 8 JUL: Kerajaan Negeri sedang merancang bagi membangunkan satu litar khusus bagi pembangunan sukan permotoran di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya telah mengenal pasti satu kawasan bagi tujuan itu dan perancangan akan dilakukan selepas ini.

“Kita ingin maju setapak lagi dan dalam Belanjawan 2019 nanti akan diperincikan kerana kita ada pelan khusus mengenainya.

“Kita telah temui tapak untuk satu litar khas bagi pembangunan sukan permotoran di Selangor,” katanya kepada media ketika menghadiri perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Litar MAEPS Serdang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Selangor ketika ini mempunyai satu litar lumba rakyat di Kuala Selangor yang banyak melahirkan pelumba cub Prix di peringkat asas serta menjadi litar latihan bagi beberapa pelumba juga juara perlumbaan itu.

Katanya, kejayaan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah boleh dijadikan contoh dan model bagaimana tanpa sokongan banyak daripada kerajaan tetapi dengan usaha keluarga dan kawan-kawan serta mendapat pasukan betul hingga mampu bergelar juara juga menyertai MotoGP.

“Perkembangan sukan di Selangor sangat baik dan patut dijadikan platform dan sokongan kepada industri permotoran dalam negara.

“Kita di landasan betul dan ketika ini sedang bersiap sedia untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2018 serta kita juga sedang membanyakkan pembangunan di peringkat akar umbi dengan pusat latihan di peringkat daerah.

“Mungkin selepas ini kita akan melihat sukan permotoran dan sukan lain akan dibantu kerana saya percaya melalui aktiviti sukan kita dapat menyatukan rakyat juga merentasi pelbagai halangan seperti kaum, agama, politik dan sebagainya,” katanya.