Categories
SELANGOR

MB: Kerjasama berpasukan terus majukan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 18 JULAI: Kerjasama berpasukan penting dalam usaha meneruskan pembangunan dan kemajuan di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, perkara itu ditekankan dalam ucapan sehari selepas dipilih menjadi Dato’ Menteri Besar dengan meletakkan gagasan supaya Selangor menjadi negeri maju dengan tema ‘Maju Bersama’ bagi memenuhi harapannya dan pimpinan lain.

“Pembangunan dan kemajuan Selangor harus digerakkan bersama semua pihak, agensi, komponen dan kumpulan di dalam negeri kita cintai ini.

“Saya bersama kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk anggota penjawat awam lain tidak mampu menggerakkan negeri ini jika kita bertindak bersendirian dan tidak membabitkan rakyat dalam arus serta agenda pembangunan di dalam negeri juga negara.

“Maka apabila dinyatakan ‘Maju Bersama’, kita bergerak bersama dan harus muafakat dengan bergerak seiringan ke arah membangunkan negeri kita untuk mencapai lebih kemajuan,” katanya pada Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) DUN Sungai Kandis bersama Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh sepuluh tahun sejak 2008, apabila pentadbiran Kerajaan Negeri diambil alih Pakatan Harapan, Selangor menikmati perkembangan baik hasil pembinaan asas pembangunan kukuh.

“Walaupun pada awalnya ramai beranggapan Selangor akan mengalami keadaan sukar dan kehilangan status negeri maju tetapi kita membuktikan sebaliknya.

“Dengan dasar IPR dilaksanakan, Selangor kekal sebagai negeri termaju dan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.