Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Nilai SPLASH sudah ditetapkan, kepentingan rakyat keutamaan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Kerajaan Negeri sudah menetapkan nilai bakal dikemukakan untuk tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bagi menyelesaikan penstrukturan air negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri ketika ini sedang menunggu perbincangan antara pegawainya serta pihak berkaitan selesai, sebelum membuat tawaran pengambilalihan berkenaan.

“Ketika ini perbincangan antara pihak pegawai dengan pihak berkaitan sedang dilakukan dan kita akan selesaikan pengambilalihan selepas perbincangan itu.

“Nilainya sudah ada tetapi saya tidak boleh umumkan lagi buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Media Prima Berhad di Hotel Hilton semalam.

Amirudin berkata, isu terbabit lewat diselesaikan kerana didorong oleh motivasi politik daripada Kerajaan Persekutuan terdahulu dan beberapa syarikat berkaitan termasuk tindakan mahkamah yang diambil sebelum Pilihan Raya ke-14 (PRU14) lalu.

“Jadi perkara-perkara ini perlu dileraikan terlebih dahulu, yang penting keutamaan rakyat dapat diutamakan dan kita harus menangani banyak perkara termasuk persepsi.

“Contohnya, satu keputusan Kabinet Barisan Nasional (BN) tidak membenarkan kerajaan negeri mengkaji air Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 memperlahankan proses ini.

“Keputusan Kabinet ini perlu dibatalkan terlebih dahulu dan saya percaya keputusan ini dibuat kerana motivasi politik,” katanya.

Pada masa sama, beliau komited dan memberi jaminan isu isu air di Selangor dengan segera demi kepentingan rakyat negeri itu.

Katanya, walaupun membabitkan proses yang panjang, namun adalah menjadi keutamaannya menyelesaikan isu itu selain akan menanganinya dengan sebaik mungkin.

“Kalau ikutkan, saya nak selesaikan semalam, tetapi banyak perkara perlu diikuti sebab membabitkan kos yang besar serta perbincangan bersama dua kerajaan, swasta dan beberapa pihak lain.

“Ini membabitkan perbincangan yang agak panjang, namun saya percaya dengan maklum balas positif kerajaan serta syarikat berkenaan, kita dapat selesaikan segera,” katanya.

=EZY=