Categories
SELANGOR

MB rai Aidilfitri bersama warga emas

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 1 JUL: Lebih 100 warga emas diraikan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Warga Emas Qariah Masjid Nakhoda, di Dewan JKKK Kampung Nakhoda, di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama isteri, Masdiana Mohamed.

Warga emas yang hadir tidak ketinggalan beramah mesra dan bergambar bersama pemimpin tertinggi negeri itu.

Beliau dalam ucapannya berterima kasih kepada penduduk di kawasan berkenaan yang sentiasa menyokongnya sehingga dilantik memegang jawatan Dato’ Menteri Besar.

“Ini adalah tahun keenam saya masih diberi peluang meraikan Aidilfitri bersama warga emas di DUN Sungai Tua yang berkempen tanpa henti dari rumah ke rumah (untuk saya).

“Terima kasih diucapkan, namun ini adalah amanah besar. Besar majoriti dan sokongan, besar juga harapan rakyat kepada saya,” katanya.

Amirudin berkata, tanggungjawab itu akan dipikul sebaiknya dan akan terus menyantuni rakyat di negeri ini khususnya.

Terdahulu, beliau turut memeriahkan Majlis Sillaturrahim Eidul Fitri, peringkat Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, di Padang Taman Berjaya, Gombak.