Categories
SELANGOR

MB terima taklimat Lembaga Zakat Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 JULAI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluangkan masa mendengar taklimat Lembaga Zakat Selangor (LZS) di pejabatnya, pagi ini.

Taklimat yang berlangsung selama hampir satu jam itu turut disertai Pengerusi LZS, YAM Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Operasi (Korporat dan Projek Khas), Ariffa Ariffin.

LZS yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu, terus komited menguruskan dan memanfaatkan potensi kutipan zakat serta memastikan pengagihan zakat dilaksanakan secara efisien, efektif juga berkesan selaras tuntutan syarak.

Dengan moto ‘Meneraju Perubahan’, LZS sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya, iaitu pembayar dan penerima zakat.

Ia dibantu dengan tenaga lebih 400 warga kerja dan disokong 25 cawangan LZS, di seluruh negeri.

Dalam tempoh dua dekad penubuhannya, LZS meningkatkan kecemerlangannya sebagai institusi zakat yang disegani dengan sentiasa mempergiatkan gerak kerja dakwah bagi memastikan lebih ramai masyarakat menunaikan rukun Islam keempat itu.

Pengagihan zakat juga ditambah baik supaya menyeluruh kepada lapan asnaf ditetapkan dalam al-Quran melalui lima program pembangunan utama asnaf iaitu sosial, pendidikan, ekonomi, insan dan institusi agama.