Categories
SELANGOR

MBI kukuh kerjasama demi kemajuan negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) akan terus mengukuhkan kerjasama terjalin dengan pihak demi kemajuan bersama, seterusnya memacu pembangunan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, MBI menghargai sokongan diberikan pelbagai pihak selama ini, termasuk pada Majlis Silaturahim Eidul Fitr anjuranya dan berharap ia terus diperkukuhkan, pada masa hadapan.

“Majlis kita adakan hari ini mendapat sambutan dan dihadiri pelbagai pihak antaranya perbankan dan korporat serta kita menghargai sokongan mereka yang banyak membantu juga mewujudkan hubungan baik antara kedua pihak khusus dalam perniagaan.

“Kita berharap ia akan terus terjalin dan membawa perkembangan positif, terutama kepada pembangunan Selangor,” katanya kepada media pada Majlis Silaturahim Eidul Fitr MBI, di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis anjuran MBI saban tahun itu sentiasa menjamukan sajian istimewa menepati selera tetamu, termasuk cendol durian yang disukai ramai.

Katanya, ia juga berlangsung penuh jaya dan mendapat sambutan kerana kerjasama semua jabatan di bawah MBI.

“Menyentuh soal kelainan, bagi saya kali ini kita tampilkan Dato’ Menteri Besar baharu, Amirudin Shari dalam majlis ini supaya hadirin dapat bertemu dan beramah mesra,” katanya.