Categories
SELANGOR

MBI santuni komuniti ilmuwan, komited perkasa institusi tahfiz

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 17 JUL: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) meneruskan usaha menyantuni komuniti ilmuwan melalui penganjuran Program Kemasyarakatan kepada Pelajar Tahfiz sekitar Selangor.

Program dalam bentuk sumbangan jamuan makanan itu membabitkan 500 pelajar dan guru dari 10 sekolah tahfiz, mewakili setiap daerah terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, program itu merupakan landasan MBI Selangor mendekati golongan pelajar tahfiz.

“Sumbangan ini diberikan atas semangat membangun komuniti dan menghargai sumbangan ilmuwan terhadap masyarakat.

“Pada masa sama diharap dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus menuntut ilmu dan berbuat kebaikan.

“MBI Selangor mengambil pendekatan menghantar jamuan ke setiap sekolah supaya ia boleh memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar dan guru, selain meraikan pelajar ini di taman ilmu yang diduduki,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Raja Shahreen hadir menyempurnakan Majlis Pemberian Sumbangan Jamuan Raya Sekolah Tahfiz, di Madrasah Tahfiz Al-Hijrah (MATAH), di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, MBI Selangor akan terus menjalankan pemantauan terhadap sekolah tahfiz di Selangor bagi memperkasa kebajikan dan pendidikan pelajarnya.

“Kami akan lihat bagaimana tahap kefungsian dan operasinya dari semasa ke semasa, selain meneliti bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

“Ia juga seiring dengan harapan kami bagi membolehkan sekolah agama di negeri ini dapat mengorak langkah maju ke hadapan,” katanya.