Categories
PBT SELANGOR

MBSA hargai peranan ahli majlis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menghargai peranan dimainkan ahli majlisnya yang menyumbang kepada pelaksanaan dasar di kawasan pentadbiran berkenaan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, mereka memberi komitmen dan kerjasama penuh sepanjang tempoh perkhidmatan, sehingga pentadbirannya menerajui tangga teratas dalam senarai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu.

Katanya, ahli majlis merupakan penggerak utama di kalangan komuniti setempat dan bergiat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

“Mereka bertindak sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) mengikut zon yang telah ditetapkan bagi merencana penganjuran aktiviti seperti gotong royong, majlis dialog, ceramah, sukan rakyat dan sebagainya.

“Selain menjadi penghubung antara MBSA dan masyarakat, mereka berperanan untuk menyalurkan setiap permasalahan yang timbul di kalangan penduduk Shah Alam, khususnya.

“Mereka turut menyampaikan segala maklumat terutama perkara berkaitan dasar-dasar Majlis,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Budi Disanjung, Jasa Dikenang bersama Mantan Timbalan Datuk Bandar dan Ahli Majlis Sesi 2016/2017 MBSA, di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Tuan Shukri Mohamad Hamin, mantan Ahli Majlis, Pengarah dan Ketua Jabatan serta Pengurus Cawangan.

Terdahulu, khidmat ahli majlis MBSA bagi penggal 2016-2017 tamat pada 30 Jun lalu.

MBSA memiliki 23 ahli majlis dengan proses pelantikan mereka dibuat menerusi senarai nama yang dikemukakan komponen pentadbiran negeri, sebelum ini.