Categories
PBT SELANGOR

MDKL serbu kilang proses plastik haram

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LANGAT, 25 JULAI: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bersama beberapa agensi penguat kuasa mengadakan Operasi Bersepadu membanteras kilang haram di Jenjarom, di sini, semalam.

Modus operandi disertai Pejabat Daerah Tanah Kuala Langat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar Selangor, Jabatan Imigresen Selangor, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor, Syarikat Air Selangor serta Tenaga Nasional Berhad itu membabitkan tujuh lokasi kilang haram secara berperingkat.

Dalam serbuan bermula kira-kira jam 11 pagi itu, Jabatan Imigresen turut menahan 16 warga Bangladesh yang merupakan pekerja kilang berkenaan.

Pengarah Jabatan Penguat kuasa Kuala Langat, Nordila Yasir berkata, pendatang asing tanpa izin yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih tempoh.

“Mereka gagal mengemukakan dokumen sah ketika diarah berbuat demikian.

“Pihak kami tidak akan mengecualikan tindakan terhadap mana-mana majikan dan warga PATI yang tidak memiliki dokumen sah,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Tinjauan SelangorKini mendapati, semua kawasan serbuan itu tidak mendapat kelulusan pelan pembangunan daripada Pihak Berkuasa Tempatan untuk menjalankan aktiviti kitar semula yang mengancam kesihatan penduduk dan memusnahkan alam sekitar.

Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat MDKL, Nor Hisham Othman berkata, kilang terbabit juga tidak memiliki lesen di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007.

“Beberapa dokumen berkaitan dirampas untuk dibawa kepada siasatan selanjutnya selain penguat kuasa menyita mesin las (welding machine) yang digunakan pekerja kilang terbabit.

“Arahan pemotongan segera bekalan air dan elektrik terhadap semua kilang itu juga sudah dibuat,” katanya.

Terdahulu, tindakan itu diambil susulan laporan akhbar tempatan berhubung pencemaran serius, di Kuala Langat didakwa berpunca dari kilang memproses plastik import secara haram.