Categories
NASIONAL

Mohd Rashid, Kor Ming dilantik Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) dari Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (KEADILAN) dan Teluk Intan, Nga Kor Ming (DAP) secara rasmi dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas 2018.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad Ariff sebelum itu mencadangkan pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dibuat melalui Undi Bersurat kerana terdapat tiga calon dikemukakan.

Proses undian itu menyaksikan Mohd Rashid memperoleh 171 undi diikuti Nga Kor Ming 124 undi sementara Datuk Seri Ronald Kiandee mendapat 93 undi.

Kedua nama calon dari PAKATAN diusulkan sendiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sementara Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran.

Lantikan baru itu menyaksikan mereka menggantikan Ronald dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Said.

Sebelum itu, 221 daripada 222 ahli parlimen selesai mengangkat sumpah di Dewan Rakyat.

Dimulakan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Ahli Parlimen Langkawi, ia diikuti Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang serta Ahli Parlimen Bebas.

Majlis angkat sumpah semua Ahli Parlimen selesai sepenuhnya pada jam 12.45 tengahari.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hadir pada majlis hari ini kerana cuti sakit selama sebulan selepas menjalani pembedahan.